Welcome

WELCOME MY FRIENDS

Thursday 22 November 2012

Ayat Majmuk Gabungan Nik Safiah menjelaskan bahawa Ayat Majmuk Gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi dan sebagainya, seperti contoh yang berikut: 1. Murid-murid berlari dan bernyanyi. 2. Ahmad kurus tetapi adiknya gemuk. 3. Encik hendak ke sekolah atau hendak ke pejabat? Ayat-ayat yang disambungkan itu setara sifatnya, iaitu ayat-ayat itu sama taraf dan boleh berdiri sendiri. Hubungan antara satu ayat dengan ayat yang lain wujud oleh sebab ayat-ayat tersebut disusun berturut-turut. Ayat-ayat ini boleh juga disambungkan tanpa kata hubung; apabila ini berlaku, nada suara berfungsi sebagai penanda, iaitu disuarakan sebagai deretan pernyataan. Sebagai contoh: 1. Ali berdiri tegak, memerhatikan gerak-geri mereka. 2. Penari-penari itu sungguh santun, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan. Dalam ayat contoh di atas, kelihatan bahawa ayat-ayat yang digabungkan itu, dalam bentuk tulisan, dipisahkan oleh tanda baca koma (,). Pembentukan Ayat Majmuk Gabungan. Nik Safiah menerangkan, ayat berikut merupakan contoh ayat majmuk yang dibentuk menggunakan kata hubung seperti dan, lalu, lagi, serta dan sebagainya. Contohnya: 1. Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak. 2. Mereka bangun lalu turun ke serambi. 3. Ayahnya banyak pengalaman lagi besar pengaruhnya. 4. Ia bercakap dengan kuat serta menepuk-nepuk dadanya. 5. Mereka melompat-lompat sambil menjerit dengan kuat. Kesimpulannya, perkaitan antara ayat dalam ayat majmuk jenis ini dapat digambarkan secara gambar rajah seperti yang berikut: Dalam rajah di atas, ayat majmuk gabungan (Ayat 1) terdiri daripada gabungan Ayat 2 dengan Ayat 3, melalui kata hubung. Dari segi teori, ayat majmuk jenis ini boleh terdiri daripada percantuman beberapa ayat tunggal, seperti dalam gambar rajah yang berikut: Dengan mengambil ayat Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak sebagai contoh, gambar rajahnya dapat dibuat seperti yang berikut: Tugas kata hubung untuk menghubungkan ayat-ayat dan menjadikannya satu ayat yang lebih besar. Dalam penyambungan ayat-ayat ini, beberapa perkara dapat berlaku pada bahagian-bahagian ayat yang digabungkan itu dikekalkan, iaitu ayat (a) digabungkan dengan ayat (b) dengan kata hubung untuk menghasilkan (c): Contohnya: 1. Ahmad rajin belajar tetapi adiknya malas. 2. Pergilah masuk ke bilik dan tidur! 3. Bolehkah anda datang esok dan menyelesaikan kerja itu? Ayat-ayat di bawah ini, sebaliknya, tidak gramatis: 1. *Ahmad rajin belajar dan tidur! 2. *Pergilah masuk ke bilik dan sungai itu cetek. 3. *Bolehkah anda datang esok tetapi adiknya malas. Selain itu, ayat terbitan yang merupakan ayat-ayat yang digabungkan dengan kata hubung dan perlu mempunyai hubungan makna untuk menjadikan ayat-ayat tersebut gramatis. Perhatikan contoh yang berikut: 1. (a) Ali bermain bola dan adiknya bermain guli. (b) *Ali bermain bola dan rumah itu terbakar. 2. (a) Emak menjahit baju dan kakak menjahit sarung bantal. (b) *Emak menjahit baju dan kucing itu gemuk. Proses penggabungan ayat boleh digunakan untuk deretan beberapa ayat. Perhatikan ayat yang berikut: 1. Pada cuti sekolah yang lalu, saya melawat datuk, nenek, pak cik, mak cik, dan saudara-mara di kampung. Kelihatan bahawa ayat di atas terdiri daripada lima ayat tunggal yang telah dijadikan satu ayat majmuk dengan menggugurkan empat frasa yang berulang-ulang, iaitu pada cuti sekolah yang lalu saya melawat. Demikian juga kehadiran dan yang berulang-ulang boleh dihilangkan, kecuali yang terakhir, seperti contoh berikut: 1. Ibu memasak, ayah membaca akhbar dan abang mendengar radio. yang berasal daripada: 2. (a) Ibu memasak dan ayah membaca akhbar dan abang mendengar radio. Kadangkala penggunaan kata hubung dihilangkan sama sekali, misalnya: 3. Adik ke sekolah, ayah ke pejabat. Dalam ayat ini, oleh sebab dan tidak menerima tekanan. maka dan boleh digugurkan. Makna ayat itu tetap tidak berubah. Nik Safiah juga menceritakan ayat gabungan dibentuk menggunakan beberapa kata hubung. Penggunaan kata hubung yang berbeza ini sekurang-kurangnya menghasilkan tiga jenis gabungan utama iaitu, i) gabungan yang susunan faktanya berurutan, ii) gabungan yang susunannya memberi maksud pertentangan fakta, iii) gabungan yang susunannya menggabungkan dua ayat atau lebih, menggunakan kata hubung yang berpasangan seperti lebih baik….daripada dan sebagainya. Abdullah Hassan berpendapat, Ayat Majmuk Gabungan terbentuk dengan menggabungkan dua atau lebih ayat tunggal. Tiga perkara digunakan sebagai penggabung iaitu (1) Unsur-unsur yang digunakan sebagai penggabung, (2) proses penggabungan , dan (3) jenis-jenis ayat majmuk gabungan yang dihasilkan. Ayat-ayat yang digabungkan adalah ayat yang sama taraf dan sama binaannya. Proses penggabungan berlaku sekiranya semua subjek dan predikat ayat yang hendak digabungkan itu tidak serupa, maka ayat tersebut dikekalkan. Apabila ada subjek atau predikat yang sama wujud dalam ayat-ayat yang hendak digabungkan, maka hanya satu unsur yang sama itu dikekalkan, yang lain digugurkan iaitu, i) subjek dan predikat ayat-ayat yang digabungkan dikekalkan, ii) satu daripada subjek yang sama digugurkan, dan iii) satu daripada predikat yang sama digugurkan. Dalam buku Abdullah Hassan hanya ada dua jenis gabungan berbeza dengan Nik Safiah iaitu tiga jenis gabungan. Gabungan yang diterangkan oleh Abdullah Hassan iaitu, i) gabungan pertentangan dan ii) gabungan susunan. Kesimpulannya jikalau ayat-ayat yang digabungkan itu mempunyai unsur yang sama dan diulang, maka kedua-dua pendapat bersetuju bahagian yang sama itu boleh digugurkan. Ayat-ayat yang dihubungkan adalah daripada jenis yang sama dan boleh terdiri daripada ayat penyata, ayat perintah atau ayat tanya, tetapi ayat-ayat tersebut biasanya tidak boleh dicampuradukkan jenisnya yang boleh digabungkan dengan kata hubung atau penggunaan (,). Terdapat perbezaan dalam cara menggabungkan ayat kerana Nik Safiah menerangkan dengan lebih jelas dalam gabungan susunan iaitu susunan faktanya berurutan dan susunan yang menggabungkan lebih dari dua ayat.

No comments:

Post a Comment