Welcome

WELCOME MY FRIENDS

Sunday 28 September 2014

Sejarah Sekolah Kebangsaan Tunku Raudzah Sekolah Kebangsaan Tunku Raudzah yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Melayu Derga telah didirikan pada 1 Ogos 1915. Idea pembukaan Sekolah Melayu Derga yang terletak di mukim Derga ini datangnya daripada Pesuruhjaya Pelajaran Kedah yang berbangsa Inggeris pada ketika itu iaitu Tuan E.A.G. Stuart bersama-sama dengan dua orang guru pelawatnya iaitu Encik Ahmad Mohd. Saman dan Tuan Haji Abdul Hamid al-Hindi. Pada awal penubuhannya semasa di bawah pentadbiran guru besar, Cikgu Md. Noor Mat serta guru penolongnya, Cikgu Hashim Sharif hanya dua orang guru telah ditugaskan untuk mengajar lebih kurang 80 orang murid yang terdiri daripada murid-murid lelaki sahaja yang berusia dalam lingkungan lapan hingga sebelas tahun. Selain itu, pada tahun 1965, sebahagian daripada bangunan Sekolah Melayu Derga ini telah dijadikan sebagai premis sementara dengan meminjamkan beberapa buah bangunan serta kelas kepada Sekolah Menengah Derga (kini Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar) sebelum ianya berpindah ke bangunannya sendiri yang kekal sehingga hari ini yang lokasinya terletak di Jalan Day (selepas itu dikenali sebagai Jalan Sultanah dan kini Lebuhraya Sultanah Bahiyah), Alor Setar mulai tahun 1968. Bangunan asal sekolah ini berbentuk bujur seperti dewan selain didirikan pula sebuah rumah guru besar dan sebuah berek tiga pintu sebagai kediaman guru tetapi kesemuanya dirobohkan pada tahun 1951 dan telah digantikan dengan bangunan-bangunan baru. Bermula dari situ proses menaik taraf bangunan Sekolah Melayu Derga berterusan. Pada tahun 1952, satu lagi bangunan baru telah didirikan, malangnya bangunan ini telah musnah akibat ribut kencang yang melanda pada 22 Januari 1952. Pada awal tahun 1967, Kerajaan pusat telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk mendirikan sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi 10 buah bilik darjah dan terus berdiri kukuh sehingga hari ini. Setelah beberapa orang pentadbir dan guru bersilih ganti dalam membangunkan Sekolah Melayu Derga ini diantaranya Tan Sri Prof. Emeretus Dr. Awang Had Salleh, akhirnya hasil perjumpaan Ahli-ahli Lembaga Pengurusan Sekolah bersama-sama Jabatan Pelajaran Negeri Kedah telah mencapai satu persetujuan dan telah sebulat suara untuk untuk menukarkan nama sekolah ini kepada nama yang baru. Pada tahun 1968 sekolah ini dinamakan sebagai "Sekolah Kebangsaan Tunku Raudzah" bersempena dengan nama Tuanku Puan Muda Bendahara Kedah pada ketika itu dan kini sebagai Raja Puan Muda Kedah Darul Aman – Tunku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Dan Sekolah Kebangsaan Tunku Raudzah, Derga ini telah dibuka secara rasminya oleh Raja Muda Kedah Darul Aman, Duli Yang Teramat Mulia Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah (Pemangku Sultan Kedah ketika itu) pada hari Rabu tanggal 26hb Mac 1975 bersamaan 14hb. Rabiulawal 1305 Hijrah. Antara pemimpin terkemuka tanahair yang pernah menuntut di sekolah ini ialah bekas Menteri Besar Kedah ke-5 Dato' Seri Syed Nahar Bin Tun Syed Sheh Shahabuddin dan Allahyarham Dato' Haji Fadzil Mohd Noor iaitu bekas Presiden Parti Islam Se-Malaysia.