Welcome

WELCOME MY FRIENDS

Thursday, 22 November 2012

Ayat Majmuk Gabungan Nik Safiah menjelaskan bahawa Ayat Majmuk Gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi dan sebagainya, seperti contoh yang berikut: 1. Murid-murid berlari dan bernyanyi. 2. Ahmad kurus tetapi adiknya gemuk. 3. Encik hendak ke sekolah atau hendak ke pejabat? Ayat-ayat yang disambungkan itu setara sifatnya, iaitu ayat-ayat itu sama taraf dan boleh berdiri sendiri. Hubungan antara satu ayat dengan ayat yang lain wujud oleh sebab ayat-ayat tersebut disusun berturut-turut. Ayat-ayat ini boleh juga disambungkan tanpa kata hubung; apabila ini berlaku, nada suara berfungsi sebagai penanda, iaitu disuarakan sebagai deretan pernyataan. Sebagai contoh: 1. Ali berdiri tegak, memerhatikan gerak-geri mereka. 2. Penari-penari itu sungguh santun, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan. Dalam ayat contoh di atas, kelihatan bahawa ayat-ayat yang digabungkan itu, dalam bentuk tulisan, dipisahkan oleh tanda baca koma (,). Pembentukan Ayat Majmuk Gabungan. Nik Safiah menerangkan, ayat berikut merupakan contoh ayat majmuk yang dibentuk menggunakan kata hubung seperti dan, lalu, lagi, serta dan sebagainya. Contohnya: 1. Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak. 2. Mereka bangun lalu turun ke serambi. 3. Ayahnya banyak pengalaman lagi besar pengaruhnya. 4. Ia bercakap dengan kuat serta menepuk-nepuk dadanya. 5. Mereka melompat-lompat sambil menjerit dengan kuat. Kesimpulannya, perkaitan antara ayat dalam ayat majmuk jenis ini dapat digambarkan secara gambar rajah seperti yang berikut: Dalam rajah di atas, ayat majmuk gabungan (Ayat 1) terdiri daripada gabungan Ayat 2 dengan Ayat 3, melalui kata hubung. Dari segi teori, ayat majmuk jenis ini boleh terdiri daripada percantuman beberapa ayat tunggal, seperti dalam gambar rajah yang berikut: Dengan mengambil ayat Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak sebagai contoh, gambar rajahnya dapat dibuat seperti yang berikut: Tugas kata hubung untuk menghubungkan ayat-ayat dan menjadikannya satu ayat yang lebih besar. Dalam penyambungan ayat-ayat ini, beberapa perkara dapat berlaku pada bahagian-bahagian ayat yang digabungkan itu dikekalkan, iaitu ayat (a) digabungkan dengan ayat (b) dengan kata hubung untuk menghasilkan (c): Contohnya: 1. Ahmad rajin belajar tetapi adiknya malas. 2. Pergilah masuk ke bilik dan tidur! 3. Bolehkah anda datang esok dan menyelesaikan kerja itu? Ayat-ayat di bawah ini, sebaliknya, tidak gramatis: 1. *Ahmad rajin belajar dan tidur! 2. *Pergilah masuk ke bilik dan sungai itu cetek. 3. *Bolehkah anda datang esok tetapi adiknya malas. Selain itu, ayat terbitan yang merupakan ayat-ayat yang digabungkan dengan kata hubung dan perlu mempunyai hubungan makna untuk menjadikan ayat-ayat tersebut gramatis. Perhatikan contoh yang berikut: 1. (a) Ali bermain bola dan adiknya bermain guli. (b) *Ali bermain bola dan rumah itu terbakar. 2. (a) Emak menjahit baju dan kakak menjahit sarung bantal. (b) *Emak menjahit baju dan kucing itu gemuk. Proses penggabungan ayat boleh digunakan untuk deretan beberapa ayat. Perhatikan ayat yang berikut: 1. Pada cuti sekolah yang lalu, saya melawat datuk, nenek, pak cik, mak cik, dan saudara-mara di kampung. Kelihatan bahawa ayat di atas terdiri daripada lima ayat tunggal yang telah dijadikan satu ayat majmuk dengan menggugurkan empat frasa yang berulang-ulang, iaitu pada cuti sekolah yang lalu saya melawat. Demikian juga kehadiran dan yang berulang-ulang boleh dihilangkan, kecuali yang terakhir, seperti contoh berikut: 1. Ibu memasak, ayah membaca akhbar dan abang mendengar radio. yang berasal daripada: 2. (a) Ibu memasak dan ayah membaca akhbar dan abang mendengar radio. Kadangkala penggunaan kata hubung dihilangkan sama sekali, misalnya: 3. Adik ke sekolah, ayah ke pejabat. Dalam ayat ini, oleh sebab dan tidak menerima tekanan. maka dan boleh digugurkan. Makna ayat itu tetap tidak berubah. Nik Safiah juga menceritakan ayat gabungan dibentuk menggunakan beberapa kata hubung. Penggunaan kata hubung yang berbeza ini sekurang-kurangnya menghasilkan tiga jenis gabungan utama iaitu, i) gabungan yang susunan faktanya berurutan, ii) gabungan yang susunannya memberi maksud pertentangan fakta, iii) gabungan yang susunannya menggabungkan dua ayat atau lebih, menggunakan kata hubung yang berpasangan seperti lebih baik….daripada dan sebagainya. Abdullah Hassan berpendapat, Ayat Majmuk Gabungan terbentuk dengan menggabungkan dua atau lebih ayat tunggal. Tiga perkara digunakan sebagai penggabung iaitu (1) Unsur-unsur yang digunakan sebagai penggabung, (2) proses penggabungan , dan (3) jenis-jenis ayat majmuk gabungan yang dihasilkan. Ayat-ayat yang digabungkan adalah ayat yang sama taraf dan sama binaannya. Proses penggabungan berlaku sekiranya semua subjek dan predikat ayat yang hendak digabungkan itu tidak serupa, maka ayat tersebut dikekalkan. Apabila ada subjek atau predikat yang sama wujud dalam ayat-ayat yang hendak digabungkan, maka hanya satu unsur yang sama itu dikekalkan, yang lain digugurkan iaitu, i) subjek dan predikat ayat-ayat yang digabungkan dikekalkan, ii) satu daripada subjek yang sama digugurkan, dan iii) satu daripada predikat yang sama digugurkan. Dalam buku Abdullah Hassan hanya ada dua jenis gabungan berbeza dengan Nik Safiah iaitu tiga jenis gabungan. Gabungan yang diterangkan oleh Abdullah Hassan iaitu, i) gabungan pertentangan dan ii) gabungan susunan. Kesimpulannya jikalau ayat-ayat yang digabungkan itu mempunyai unsur yang sama dan diulang, maka kedua-dua pendapat bersetuju bahagian yang sama itu boleh digugurkan. Ayat-ayat yang dihubungkan adalah daripada jenis yang sama dan boleh terdiri daripada ayat penyata, ayat perintah atau ayat tanya, tetapi ayat-ayat tersebut biasanya tidak boleh dicampuradukkan jenisnya yang boleh digabungkan dengan kata hubung atau penggunaan (,). Terdapat perbezaan dalam cara menggabungkan ayat kerana Nik Safiah menerangkan dengan lebih jelas dalam gabungan susunan iaitu susunan faktanya berurutan dan susunan yang menggabungkan lebih dari dua ayat.

Wednesday, 11 July 2012

LOGO KEMPEN MEMBACA





KEMPEN MEMBACA

Cetak
baca


REKABENTUK
Reka bentuk logo yang menggunakan elemen tipografi dan grafik ini menggabungkan motif Budi Bahasa dan sepasang tangan yang sedang memegang buku. Ia memberi tanggapan seseorang yang sedang membaca. Imej keseluruhan ini disatukan dalam satu ruang lingkup (berbentuk segi empat) yang berwarna kuning. Perkataan "Bangsa Membaca" dan "Bangsa Berjaya"  di bahagian atas dan bawah bingkai rekaan ini. Secara keseluruhan reka bentuk logo ini menampakkan ciri-ciri penerapan tabiat dan dorongan kepada rakyat Malaysia terhadap membaca sebagai satu amalan murni selaras dengan Kempen Membaca yang diusahakan ini.
WARNA
Warna-warna yang digunakan adalah Biru, Merah dan Kuning yang merupakan ciri-ciri warna utama negara kita. Warna biru yang menggambarkan patriotisme ini diserikan dengan warna kuning yang diibaratkan sebagai kemuliaan. Secara tidak langsung, gabungan warna-warna ini menjelaskan peranan masyarakat yang bersatu padu untuk merealisasikan impian dengan menjadikan membaca itu sebagai satu amalan yang baik dan berfaedah dalam kehidupan.
HURUF(Font)
Huruf (font) yang digunakan pada perkataan "Bangsa Membaca" dan "Bangsa Berjaya" adalah "Impact". Huruf ini menampakkan ketulenan, kesempurnaan dan kekukuhan yang menjadi kualiti utama untuk mempromosikan Kempen Membaca di kalangan masyarakat.
VISI
Ilmu membangun tamadun

MISI
Memupuk budaya membaca sepanjang hayat
Objektif
• Menanam budaya membaca ke arah melahirkan masyarakat berpengetahuan, pemikir dan kreatif
• Memperkembangkan industri penerbitan buku

Kempen Membaca Kebangsaan merupakan agenda tahunan dengan pelbagai aktiviti dirangka dan dilaksanakan di seluruh negara. Kemuncak kempen adalah sambutan Bulan Membaca Kebangsaan yang diadakan selama sebulan dengan pelbagai aktiviti dirangka dan dilaksanakan sama ada di Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Awam Negeri serta perpustakaan guna sama dan akademik di seluruh negara.


Di Perpustakaan Negara Malaysia, pelbagai aktiviti dan program menarik diadakan bagi menggalakkan penyertaan pelbagai golongan masyarakat. Objektif utama adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya membaca serta menggalakkan  masyarakat Malaysia mengamalkan  budaya membaca daripada pelbagai sumber bahan bacaan.

MARI MEMBACA


Julai-Bulan Membaca Kebangsaan
1.     Bulan Membaca Kebangsaan yang pertama telah dilancarkan pada 31 Julai 1995 dan telah dirasmikan oleh Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Menteri Pendidikan pada ketika itu.
2.     Tema Bulan Membaca Kebangsaan yang pertama ialah "Mari Membaca Bersama".
3.     Bermula tahun 2001, bulan Julai telah diisytiharkan Bulan Membaca Kebangsaan bagi menggantikan bulan Ogos bagi mengelakkan pertindihan dengan sambutan bulan kemerdekaan.
4.     Majlis itu telah dilancarkan oleh Dato' Seri Dr. Siti Hasmah Haji Mohd Ali pada 16 Julai 2001.
5.    Usaha untuk menggalakkan masyarakat Malaysia supaya gemar membaca sudah dimulakan sejak tahun 1972. Usaha tersebut dinamakan Gerakan Membaca yang juga merupakan salah satu projek anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
6.     Pada puratanya, setiap individu membaca kurang dari satu buku setahun tahun. Tahniah terkini telah meningkat 8 buah buku setahun tetapi tidak mampu bersaing dengan rakyat Jepun yang membaca 40 buah buku setahun.
7.     Semakin banyak anda membaca, semakin luas pengetahuan anda. Dengan lebih pengetahuan, anda akan lebih yakin. Keyakinan akan membina kepercayaan dalam diri. Jadi, ia merupakan reaksi berantai. Apabila anda banyak membaca, orang akan sentiasa bertanya anda. Anda akan merasakan bahawa diri anda lebih baik.


Wednesday, 27 June 2012

ujian

saban waktu kita diuji
ujian yang mencabar
ujian biasa
mungkin Allah menguji ketaatan kita
kekuatan kita
bagaimana latah kita apabila diuji
semuanya mesti bersebab
bersabarlah menempuhi ujian ini

zoom a

http://www.zoom-a.com/

MBMMBI

http://www.moe.gov.my/mbmmbi/

Saturday, 9 June 2012